Monday, September 24, 2018

Tarian Inang

 1.0 Pengenalan

1.1 Tajuk

1.2 Justifikasi pemilihan tajuk dan kepentigan tajuk
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain. Tambahan pula, setiap kaum mempunyai bahasa, budaya dan adat resam yang berbeza. Walaupun begitu, masyarakat Malaysia dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai, bebas daripada peperangan. Hal ini kerana semua kaum saling menghormati adat dan budaya masing-masing. Kumpulan kami memilih tajuk ini kerana kebanyakan ahli kumpulan kami terdiri daripada Kaum Cina. Oleh itu, kami ingin lebih memahami dan mempelajari tentang tradisi kaum lain, iaitu budaya Kaum Melayu kerana budaya melambangkan bangsa.

Tarian tradisional semakin dipinggirkan dalam kalangan generasi muda pada masa ini. Kita sebagai generasi muda Malaysia, mestilah menanggung tanggungjawab untuk mengekalkan tradisi kaum-kaum di Malaysia. Hal ini kerana kebanyakan remaja zaman ini lebih meminati budaya Barat. Bak kata pepatah “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”, kita haruslah mengutamakan adat dan kebudayaan kaum negara kita. Kajian ini memberi kita peluang untuk mempelajari tarian tradisional kaum Melayu iaitu Tarian Inang. Ini bukan sahaja dapat mengukuhkan identiti kaum Melayu, malah juga dapat menunjukkan keistimewaan tarian tradisional kaum melayu kepada semua pelajar.

Selain itu, budaya warisan menunjukkan identiti sesuatu kaum. Tarian Inang merupakan antara satu lambang budaya kaum Melayu. Sebagai contoh, kita dapat mengenali sesuatu kaum dengan lebih mendalam melalui persembahan tarian mereka. Dengan begitu, kita akan lebih menghormati kaum masing-masing dan tidak membenarkan perbezaan antara adat dan budaya masing-masing menjadi penghalang kepada perhubungan kita. Hal ini amatlah penting kerana sekiranya semua orang tidak mengenali adat dan budaya kaum masing-masing, maka negara kita yang berbilang kaum ini tidak dapat bergaul dengan mesra. Bukan sahaja begitu, perselisihan antara kaum-kaum juga akan semakin banyak kerana tanpa kewujudan persefahaman antara kaum. Lambat laun, kesepaduan rakyat akan dijejaskan, maka negara kita akan berada dalam keadaan yang tidak tenteram, akhirnya rakyat-rakyat yang akan menderita.

Seterusnya, kajian tentang tarian tradisional kaum Melayu ini dapat memupuk kesedaran kita supaya lebih menghargai seni tarian tersebut. Hal ini kerana, kita kurang didedahkan kepada tarian tradisi kamu-kaum Malaysia. Dengan begitu, kita akan sedar tentang kewujudan tarian tradisi tersebut dan mulai memupuk minat kita terhadap budaya kaum Melayu. Oleh demikian, kajian ini merupakan suatu peluang yang istimewa bagi kami untuk menyelidiki salah satu tarian tradisional kaum Melayu, iaitu tarian Inang.

Akhir sekali, kami dapat meluaskan pengetahuan kami tentang seni budaya kaum Melayu. Bidang kesenian memainkan peranan yang amat penting terhadap masyarakat kita, antaranya termasuklah menyatupadukan masyarakat, memberi peluang pekerjaan, mengukuhkan identiti masyarakat dan sebagainya. Oleh demikian, kami ingin mendalami pengetahuan kami dalam aspek ini agar kami sedar tentang kepentingan kewujudannya bidang seni serta menghargai keistimewaan tarian Inang. (440)

1.3 Objektif
Kajian ini dijalankan untuk mengecapi beberapa objektif. Antaranya termasuklah untuk mendalami pengetahuan kami tentang adat dan budaya kaum Melayu yang merupakan antara kaum utama di Malaysia. Kajian ini memainkan peranan yang penting dalam mendedahkan kami kepada adat dan budaya kaum Melayu sebab ahli kumpulan kami terdiri daripada orang Cina, dengan begitu barulah kami dapat  menghayati adat dan budaya kaum yang lain. Contohnya, Tarian Inang merupakan salah satu tarian tradisional orang Melayu. Dengan melakukan latihan dan persembahan tarian tersebut, kita bukan sahaja dapat menimba pengalaman yang unik malah juga boleh menambah pengetahuan tentang budaya kaum Islam supaya tidak dikatakan seperti katak di bawah tempurung.

Selain itu, kajian ini adalah untuk mengenal pasti cara-cara Tarian Inang dipersembahkan. Tarian tersebut mempunyai pelbagai langkah yang perlu diingati, malahan pula kami tidak pernah mempunyai pengalaman seperti mempersembahkan tarian tradisional kaum Melayu, apatah lagi memelajari tarian tersebut. Hanya dengan membuat kajian yang terperinci, barulah kami dapat menyampaikan persembahan yang baik agar dapat menarik minat pelajar-pelajar. Oleh itu, kajian ini memberi kami peluang yang baik untuk memelajari cara menari tarian Inang agar kami mempersembahkan tarian tersebut dengan cara yang betul dan tepat pada hari pembentangan yang akan datang.

Seterusnya, persembahan kita bukan sahaja dapat menarik minat pelajar terhadap tarian tradisional kaum-kaum lain malah juga akan mendedahkan mereka kepada budaya kaum Melayu yang kian terancam oleh budaya Barat. Hal ini kerana kebanyakan remaja pada masa kini lebih berminat tentang budaya Barat daripada budaya Kaum Melayu, yang merupakan antaranya kaum utama negara kita. Tradisi-tradisi semakin dipinggirkan oleh sebab pemodenan era ini, sebagai akibat, tarian Inang semakin jarang dikenali oleh anak muda zaman ini. Lambat laun, tarian tersebut akan lenyap selama-lamanya kerana tidak diwarisi kepada generasi yang muda. Oleh itu, kami ingin menarik minat pelajar-pelajar dengan mempersembahkan tarian Inang supaya mereka akan memberi perhatian kepada budaya kaum Melayu.

Akhir sekali, kajian ini bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama antara ahli-ahli kumpulan. Hanya dengan adanya kerjasama daripada semua pihak, barulah kajian ini akan diselesaikan dalam masa yang ditetapkan. Tanpa semangat kerjasama, bukan sahaja kajian tidak dapat dihabiskan, malah perselisihan faham antara satu sama lain juga akan timbul. Oleh demikian, kajian ini merupakan sesuatu cabaran bagi semua orang, hanya dengan mengatasi cabaran tersebut, barulah kami akan sedar tentang kepentingan wujudnya semangat kerjasama. Bak kata orang “Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang”, kami akan berusaha dan memberi kerjasama agar kajian ini dijayakan. (392)

1.4 Perancangan Pembentangan
Pertama, kita akan membaca tentang adat kaum Melayu dengan lebih teliti, terutamanya, langkah dan makna tarian tersebut. Kita juga akan mencari maklumat seperti cara persembahan, sejarah, maksud dan pakaian tradisi tarian tersebut. Kita akan memperoleh maklumat-maklumat tersebut melalui laman web. Tambahan pula, kami juga akan merujuk kepada video-video yang boleh didapati pada laman web. Dengan begitu, kami akan mempelajari teknik tarian yang tepat.

Selain itu, kita juga akan mengadakan perbincangan setiap minggu dan semua ahli kumpulan boleh memberi cadangan masing-masing tentang kajian ini. Latihan- latihan juga akan diadakan untuk mempelajari langkah-langkah tarian tersebut. Ketua kumpulan akan menetapkan sesuatu masa yang sesuai setiap minggu agar semua ahli kumpulan boleh membincangkan tentang kajian ini. Selepas perbincangan telah selesai, kami akan mula mempelajari langkah-langkah tarian Inang. Semua ahli kumpulan akan diberi tugasan yang berlainan agar kajian ini dapat diselesaikan dalam masa yang ditetapi.

Seterusnya, kita akan mendapat maklum balas daripada kawan-kawan Melayu untuk memperbaiki tarian kita. Hal ini kerana mereka mestinya lebih memahami tarian Inang daripada kami. Dengan begitu, kami bolehlah perasan kesalahan kami dan memperbaikinya dalam masa yang tepat. Oleh demikian, maklum balas daripada kawan-kawan Melayu amatlah penting.

Akhirnya, kami akan melatih dengan bersungguh-sungguh sehingga semua ahli kumpulan telah biasa dengan langkah-langkah tarian Inang, bak kata orang “Alah biasa tegal biasa”. (209)

2.0 Kajian Lepas

Tarian Mak Inang berasal daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Lagu yang diiringinya digubah di atas perintah daripada Sultan Mahmud Shah yang sangat gemar akan kesenian. Lagu ini juga berkemungkinan untuk melenakan baginda semasa peraduannya. Titah perintah Sultan dikeluarkan kepada ketua inang atau ketua dayang yang diajar kepada para dayang bagi ditarikan semasa majlis keramaian orang ramai. Kini, Tarian Mak Inang lebih dikenali sebagai Tarian Inang yang merupakan versi moden Tarian Mak Inang. Kini, terdapat beberapa jenis Tarian Mak Inang iaitu, Tarian Mak Inang Melayu, Tarian Mak Inang Pulau Kampai dan Tarian Mak Inang Kahyangan. Ianya juga dinamakan Tarian Si Kembang Cina kerana terdapat banyak pengaruh Cina dalam muziknya.

Cara persembahan Tarian Inang adalah secara berpasangan oleh penari lelaki dan wanita. Pergerakan tariannnya banyak tertumpu kepada bahagian tangan yang diangkat selaras bahu baik oleh penari lelaki mahupun penari wanita. Tempo tarian adalah sederhana iaitu, 2/4 diselangi dengan paluan gong. Namun demikian, Tarian Inang juga boleh ditarikan dengan pantas iaitu 4/4 berdasarkan irama masri. Tarian ini diiringi alat muzik rebana, biola dan gendang, Tarian ini sangat lemah gemalai. Semasa menari, para penari melambaikan sapu tangan atau skaf panjang yang berwarna-warni. Selain itu, tarian ini mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian untuk ditarikan di Istana Di-Raja kepada raja dan pembesar-pembesar luar negara yang datang melawati Melaka pada ketika itu. Tarian ini juga dipersembahkan semasa majlis keramaian, majlis perkahwinan dan majlis sosial. Ini adalah kerana persembahan tarian ini membangkitkan dan menggambarkan suasana keceriaan sesebuah sambutan perayaan dengan hayunan tangan dan langkah kaki yang gemalai.

Tarian ini mempunyai pelbagai fungsi dan makna biar semase zaman dahulu atau semasa zaman moden ini. Fungsi Tarian Mak Inang adalah untuk mencerminkan kehidupan sosial masyarakat. Persembahan ini digunakan sebagai hiburan dan untuk memberi kesenangan kepada penonton. Selain itu, ia juga memainkan peranan yang penting dalam aspek ekonomi. Kehidupan dalam dunia seni tari apabila dilaksanakan secara profesional dapat dijadikan sebagai suatu bidang pekerjaan. Selain itu, adat dan budaya ini yang dikekalkan akan menjadi tarikan pelancong untuk datang berkunjung ke negara kita. Ini secara tidak langsung dapat memperkembangkan ekonomi negara.

Terdapat dua jenis pakaian untuk penari wanita. Yang pertama,  baju kurung yang siap dengan kain, baju dan selendang. Selendang dipakai dan dilekatkan di bahu dengan kemas dan biasanya tidak melingkar di leher pemakai. Kedua, baju kebaya labuh yand terdiri daripada kain, baju dan juga selendang. Penari wanita juga akan memakai hiasan cucuk sanggul yang terdiri daripada tiga jenis, iaitu, siput tegang, siput cekak dan siput lintang. Biasanya penari perempuan akan memegang sapu tangan kecil yang berwarna-warni sebagai tambahan bagi menyerikan tarian. Sementara itu, pakaian penari lelaki dibahagikan kepada tiga jenis iaitu, baju Melayu Cekak Musang yang terdiri daripada samping, kain dan songkok. Baju ini digunakan semasa acara-acara keluarga seperti kenduri, perayaan dan aktiviti keramaian dan semasa majlis-majlis rasmi. Kedua,  baju Melayu Gunting Cina yang digunakan semasa situasi sehari-sehari di rumah bagi acara tidak rasmi dan akhir sekali, baju Melayu Teluk Belanga yang teridiri daripada songkok, kain dan samping.

Pakaian penari Inang mempunyai pelbagai fungsi dan lambangnya. Hal ini demikian kerana bagi orang Melayu, pakaian bukan sahaja digunakan untuk menutup aurat dan melindungi tubuh dari panas dan dingin, malah mereka juga digunakan untuk menyerlahkan lambang-lambang yang membawa makna. Lambang-lambang itu mewujudkan nilai-nilai luhur yang dijunjung tinggi oleh masyarakatnya. Contohnya, Baju Melayu Cekak Musang mempunyai lima butang pada baju yang membawa maksud lima Rukun Islam yang perlu dipatuhi oleh semua umat Islam. Selain itu, dapat juga dilihat pada Baju Melayu Teluk Belanga yang mempunyai satu butang pada baju bermaksud hanya Tuhan (Allah) yang wajib disembah dan tiadalah yang lain yang wajib disembah bagi umat Islam. Cucuk sanggul pula
melambangkan pertahanan diri wanita dan selendang yang diletakkan di kepala membawa simbolik “melindungi diri” dan martabat seseorang wanita. Tambahan pula, keronsang-keronsang yang dipin pada baju penari wanita memperlihatkan darjat seseorang.



Inang bermaksud pengasuh. Oleh itu, Tarian Inang memberi gambaran bagaimana lembut dan sopan santunnya seorang wanita pengasuh. Penari lelaki merupakan pasangan untuk menggambarkan keserasian dalam kehidupan keluarga atau masyarakat.

Menurut catatan dalam Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu, Puteri Hang Li Po diutus ke Melaka sebagai tanda Kerajaan Wangsa Ming di China menerima Kesultanan Melayu Melaka sebagai negeri yang tunduk di bawah kuasanya dalam abad kelima belas Masihi. Puteri Hang Li Po sungguh berdukacita sewaktu baginda tiba di Melaka. Para dayang-dayangnya cuba menghibur hati baginda namun mereka tidak berjaya. Pada waktu yang sama, Puteri Hang Li Po jatuh kasih kepada pahlawan Melayu yang terbilang lagi bijaksana, Hang Tuah.
Sebaik-baik sahaja dia mengetahui akan kesedihan Puteri Hang Li Po, Hang Tuah mengusulkan agar ketua-ketua inang baginda, Kembang Cina dan Dang Perwara, menciptakan sebuah tarian dengan menggunakan sebuah irama Cina. Maka, Tarian Mak Inang Cina tercipta.
Lenggok Tari Inang yang biasa ditarikan ialah Inang Selendang, Ayam didik, Tari Payung, Tari Sapu Tangan, Tari Lilin dan lain-lain bergantung kepada peralatan yng diragakan dalam tarian tersebut. Tarian Inang telah berkembang ke negeri-negeri di Tanah Melayu dan telah divariasikan mengikut budaya setempat negeri tersebut. Tarian Mak Inang Tua adalah tarian yang amat popular di negeri Kedah sekitar tahun 1940-an sehingga 1950-an. Tarian ini biasanya ditarikan secara berpasangan yang mana penari perempuan memakai selendang sebagai alat tari utama. Tarian ini mempunyai tempo yang pantas dan di iringi dengan alat muzik rebana, biola dan gendang.
Alat-alat muzik yang digunakan terdiri daripada rebana, gendang dan biola.Kini tarian mak Inang yang juga dikenali sebagai Tarian Inang (versi moden tarian Mak Inang) dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian dan perkahwinan.

Ia sering dipersembahkan di majlis-majlis sosial. Tarian ini ditarikan mengikut laju tempo rebana, biola dan gendang. Semasa menari, para penari melambaikan sapu tangan yang berwarna-warni.
(921)


3.0 Refleksi Individu

Pengalaman saya semasa menyiapkan tugasan ini adalah amat berharga. Saya menimba banyak ilmu pengetahuan tentang budaya kaum Melayu, terutamanya tarian tradisional mereka, iaitu Tarian Inang. Tugasan ini juga mewujudkan kesedaran saya tentang kepentingan memelihara dan adat dan budaya kaum-kaum di Malaysia supaya adat dan budaya tersebut tidak kehilangan zaman. Pengalaman pertama saya berlatih menari tarian tradisional ini membolehkan saya melihat kecantikan dan keanggugan tarian tersebut. Untuk menguasai langkah-langkah dan koreografi tarian tersebut bukan mudah dan kami mengambil banyak masa untuk berlatih supaya dapat menari dengan baik. Tugasan ini jugan menimbulkan rasa ingin tahu dan minat saya terhadap etnik ini yang merupakan salah satu kaum utama di negara kita, Malaysia. Dengan ini, saya dapat menerima dan menghormati perbezaan antara kaum-kaum Malaysia dengan lebih mudah. Ini memudahkan interaksi antara saya dengan kawan-kawan saya yang berbilang bangsa dan agama dan membolehkan wujudnya suatu hubungan yang erat. Selain itu, saya berasa amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan ahli kumpulan saya untuk menyiapkan tugasan ini. Bimbingan dan nasihat pensyarah saya juga amat dihargai.



4.0 Penutup

Kesimpulannya, tarian Inang menonjolkan kesenian dan kebudayaan kaum Melayu di Malaysia. Hanya dengan memastikan tradisi-tradisi kaum Melayu seperti tarian Inang diwarisi kepada generasi yang akan datang, barulah identiti kaum Melayu yang tak terdandingi ini dapat dikekalkan. Oleh itu, tarian ini perlulah dijaga keseniannya agar generasi yang akan datang dapat mengenali dan menghayati tarian tradisional ini yang semakin ditelan zaman. Bak kata orang “Yang lama dikelek, yang baharu didukung”, di samping mengamalkan budaya hidup yang baru, kami perlu mengingati akar kami dengan mengekalkan adat yang lama.

Tarian Inang juga mencerminkan identiti masyarakat Melayu dan adat mereka. Semua kaum mempunyai identiti mereka yang tersendiri dan unik, tanpa identiti, orang luar tidak dapat membezakan kaum melayu dengan kaum lain. Oleh hal yang demikian, ini merupakan tanggungjawab kita untuk memperkembangkan tarian tradisional bukan sahaja di mata rakyat Malaysia malah juga di mata dunia supaya ia dikenali ramai. Dengan ini, nama negara kita dapat dimartabatkan di persada dunia.

Masyarakat memainkan peranan yang penting dalam memastikan adat dan budaya kaum-kaum negara kita dikekalkan. Kita sebagai ahli masyarakat mestilah sedar tentang signifikasi tradisi-tradisi yang diwariskan oleh nenek moyang kita. Setiap anggota masyarakat perlu sedar tentang kewujudan kepelbagaian budaya dan adat di negara kita yang terdiri daripada berbilang kaum, dengan begitu barulah semua orang dapat menerima perbezaan antara satu sama lain dan turut bergaul dengan rapat. Ini merupakan titik permulaan bagi menyebarkan kesedaran bahawa setiap kaum mempunyai adat dan budaya yang berbeza dan kepentingannya mengamalkan sikap yang saling hormat-menghormati. Bak kata peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, kita perlu mendidik generasi yang muda terdahulu supaya mereka mengamalkan sikap saling hormat-menghormati sejak muda lagi.

Akhirnya, kajian ini telah memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan hubungan ahli-ahli kumpulan kami. Bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”, kami sedar tentang kepentingan semangat kerjasama dalam kejayaan sesuatu projek, bukan sahaja begitu, semangat kerjasama juga merupakan antara elemen yang penting dalam pengukuhan perpaduan dan integrasi di Malaysia moden ini. (319)




1 comment: